Friday, March 26, 2010

Pinta

Alhamdulillah...
Ketika hati tulus meminta
ia terlaksana.

Pernah dulu aku meminta
itu dan ini
Apa yang aku perolehi
hanya sebuah jalan yang panjang
yang penuh dengan adegan yang tak kuinginkan

Cacatkah pintaku?
Cacatkah diriku yang meminta?
cacatkah nuraniku ketika aku meminta-minta?

Kini aku mengerti
Mungkin pintaku tiada murni
Mungkin juga pintaku memaksa
Mungkin juga Dia suka aku meminta
dan terus meminta berkali-kali kepada-Nya
berserah diri seluruhnya kepada yang lebih hakiki
supaya lebih mendekat
supaya lebih memahami
supaya lebih menghayati

Alhamdulillah...
Bukan sahaja pintaku itu dan ini,
diberi lagi dan lagi...

e.m.a.s.
26/03/2010

Saat Ini

Kebuntuan pada hati
Kekaburan pada fikir
Kepenatan pada jasad
Kelelahan pada jiwa
Kecanggungan pada reaksi
Kesumbangan pada nada
Kepelikan pada bunyi
Keanehan pada realiti
Masa depan yang berfantasi infiniti
Jalan yang berstruktur
Langkah yang tak teratur
Lengah yang berpanjangan
Tapi akal tetap raja
Kepercayaan tetap yang terutama
Fikiran adalah peneraju
Emosi menghayati
Tingkah laku adalah penentu
Langkah demi langkah...

e.m.a.s.
06/09/2006

Yoyo- Sang Kera Hitam (Setelah tidak jadi melihat "Wangi jadi Saksi")

Yoyo- Sang Kera Hitam
(Setelah tidak jadi melihat "Wangi jadi Saksi")

Dia belajar di Amerika
Mengangkat kamera dan filem
Dari satu bunga kangkang
ke bunga kangkang yang lain
mencari dan mencuri ilham
dari runtuhan bangunan
kota New York.

Lalu pulang ke gagang
Dalam keadaan mengengkang
Dan terkangkang mencari bunga baru
Dengan keangkuhan seorang direktor
Anak didik kera hitam dari Amerika.
Kerna katanya :
Kera kelabu asap di sini masih belum bertamadun
Masih di ikat oleh adat kuno
Masih belum mengerti erti kebebasan sejati
Mungkin dia boleh mengajar kera-kera di sini
pengertian hidup yang sebenar
Bebas dari ikatan apa-apa saja.

Kerana kangkangnya lebih besar
Dari sekangkang kera kelabu
Maka tradisi baginya
Adalah sebuah ceritera rhetorika
Untuk menerima realiti khayalan
Sementara menunggu kemusnahan,
Yang pasti datang
Membawa kiamat diri.

Yoyo si kera hitam
Bicara tentang kebenaran
Sambil meneguk anggur di tangan
Dan mata liar
Melihat bunga di taman
Untuk merenung mata
Potensi mangsa senggamanya
Yang terkial-kial memandang langit diri
Dalam kepuasan sementara,
Sementara menunggu
Bulu serigalanya tumbuh sepenuhnya
Dan hukum karma memakan diri.

Julai 2006

API CINTA

JIKA BOLEH MAU SAJA
KUBERIKAN KAMU API CINTA INI
API YANG MENYALA
DI DALAM DADA.

JIKAKU PEKIK ATAUPUN TIDAK
MALAM DAN SIANG
IA TETAP MEMBARA
(MEMBERI CAHAYA)

CHORUS

MEREKA BERKELUBUNG MENUTUPI FIKIRAN
TETAPI HATI KEKASIH BAK SELENDANG
MENYALA-NYALA API EMAS CINTANYA
(MENYAMBAR JIWAKU JIWAKU YANG GERSANG)

(OH TUHAN)

UBAHSUAI DARI SAJAK RUMI
OLEH ZUBIR ALI
19 MEI 2006

BERHALA DUNIA

muhammadzubirali

Setiap tahun
dunia memilih berhala barunya
dan si mata Dajjal itu
setiap minggu
membuka matanya yang satu
menyerang setiap ruang tamu.
dengan sihir medianya.

Kalau dulu
manusia memberhalakan hantu
memberhalakan patung batu
tapi kini
dengan suara dari neraka
tercipta dewa dan diva
maka di mana mana
ada replika budaya
berhala negara dunia
dengan berbagai nama
berhala baru
ordisia dan fantasia
dan keuntungan berjuta
atas kebodohan citarasa
remaja harapan bangsa.

Begitulah manusia
lari dari merah asap
ke dalam budaya dolar
dia terperangkap
dan bapa-bapa
masih melihat dari tingkap
bagaimana anak-anaknya
di racun hijau dolar
dan kalau risau
boleh saja diaturkan
satu seminar besar
untuk dihadiri
oleh orang yang perlu sedar
tapi tak punya kuasa
untuk mengubah dunia.

Mari kita
ramai-ramai ketawa
ketawakan diri kita sendiri
biarkan si Ali dalam dunianya
terpinggir dan tersendiri
keseorangan dia akan mati.

1 Mac 2005

KETIADAAN

muhammadzubirali

Dari tiada
Muncullah ada
Muncullah pasangan
Muncullah cahaya
Muncullah makna
Menjadi bentuk-bentuk
Yang berenang di lautan lawan.

Tiada itulah bonda
Kerana darinya lahir segalanya
Ada itulah bapa
Kerana darinya terpancar alif
Dan hejaiyah yang lain.

Rahsia itu
Adalah perkahwinan
Kawin itu buahnya zuriat
Zuriat itulah khalifah
Memerintah dan diperintah
Pada malam pernikahan
Tiada dan ada.


2000

MENAPIS WAKTU

muhammadzubirali

Bagaimana nakku katakan
Perjalanan seharian ini
Lebih bererti
Dari setahun
Mengamati buku-buku purba
Yang menyimpan rahsia berjuta.

Steve Dan Martin
Rakan dari dunia yang lain
Duduk berhadap-hadapan
Sambil meminum kopi
Tapi yang kami minum bersama
Ialah sungai susu
Ialah sungai madu
Ialah sungai arak
Dari dusun buah-buahan
Di luar musim.

Akhirnya kami berdiri
Memandang kekosongan
Yang menelan ruang dan waktu
Dan hakikat menyentuh hati kami yang kosong.

Apa yang sebenarnya wujud
Kalau bukan
Simulasi yang panjang
Lapis berlapis
Lalu aku pun menapis waktu
Dan mengumpulkannya menjadi satu.


Oxford
Khamis
30 Mac 2005

RINTIK HUJAN ADALAH AIRMATA

muhammadzubirali

Rintik hujan yang dingin
Menikam jariku
Menyakiti telingaku
Yang telanjang
Didakap angin malam
Dan dari jendela tingkap cermin kaca
Mr. John tanpa silu dan malu
Mengaku dalam iklan tv
Bahawa seleranya pada lelaki
Atas nama mutlaknya kebebasan
Manusia istimewa
Penakluk dunia.

Malam berikutnya
skrin kaca membuka
tirai baju para wanita
dengan hikayat
membesar gunung di dada
atas nama berhala dunia
supaya manusia lupa
pada forbia kekejaman
di pusat dunia.

Rintik hujan adalah airmata
Dan mereka yang menganjurkan
Kebebasan fikiran
Medakap prejudisma
Pada si kulit hitam dan kelabu
Sambil melaungkan kebebasan
Umat manusia
Di bawah panji-panji kekejaman
Yang mereka cipta
Dan ekspot kedua ketiga
Atas nama keadilan sejagat.


bayswater
London

30 Mac 2005

Mama

Muhammadzubirali

Mama

(2)

Sesekali
teringat juga aku
kepadamu mama,
sewaktu duka
dan sepi
mengetuk-ngetuk
pintu rumahku.

Sesekali
teringat jua aku
kepadamu mama,
bila ruang
dan masa
tidak lagi memberi erti
pertemuan.

Begitulah biasanya
duka dan sepi
menjadi teman setia
kepada mereka
yang ingin kembali.

Aku pun
entah kenapa
pada saat begini
terasa amat ketiadaanmu
mama!

Aku pun
entah kenapa
kadang-kandang terasa
kematianmu
adalah kematianku
juga.

18 Oktober 1980

Dewan Sastera
Julai 1982

SURAT UNTUK MEMANDANG NUR DI HUJUNG HORIZON (Untuk Anwardi Jamil yang terus berkarya)

Masih ada
Orang jujur
yang harus hidup miskin
Masih ada
Pejuang bangsa
Yang tak boleh dibeli
Demi harga diri
Masih ada
Pejuang budaya
Yang tidak luntur
Oleh pengaruh V dan MTV.
Masih ada
Nur di hujung horizon
Walaupun horizon itu berubah-ubah.

Kata-kata manis
Seharusnya tidak lagi memikat
Kecuali diturut
Oleh aksi yang selari
Rhetorika bahasa
Tertinggal di celah-celah buku
Yang tidak lagi dibaca
Oleh mata muda yang ghairah.

Pak Menteri
Bercakap lantang di khalayak ramai
Tentang harga diri
Suatu bangsa
Ketika anak buahnya
Berkokok panjang
Dengan aturan dan undang-undang
Untuk mengorbankan nur
Di layar filem
Supaya filem kita
Kehilangan wajah sendiri.

Kita bukakan langit dan angkasa
Supaya orang dari kampong
Yang tak berpeta
Dapat mengenal
Rakyat pendalaman
Eropah dan Amerika
Supaya mereka
Lebih berilmu
Pada masa yang sama
Ada orang di kota New York dan London
Yang tak tahu di mana Malaysia.

Mungkin betul kata Aflin
"Sampai bila"
Dunia ketiga
Akan di buli terus
Oleh orang dari Utara
Dan kita hanya perlu
Menerima ide mereka
Untuk hidup selesa
Di bawah penjajahan
budaya dan minda.

Ayuh!!!
Kita bukakanlah langit kita
Supaya mudah untuk dijajah
Supaya budaya anti agama
Dan hujan warna
Dari Barat itu
Boleh menggoyangkan pinggul
Anak-anak muda kita
Yang masih belum berwarna.
Atas nama kebebasan memilih
Ala demokrasi Barat.
Kemudian nanti
Kita seminarkan
Peranan ibupaba dan pendidik
Dalam pembentukan peribadi remaja
Dan membiarkan langit yang bocor itu
Terus membasah lantai hidup kita.

kerisperak

Sang Serigala

muhammadzubirali

Kelihatannya orang serigala
Seperti orang,
Tapi ada binatang
Di dalam orang,
Wangi di luar
Busuk di dalam
Mesra di kulit
Dendam di isi
Putih di mulut
Hitam di hati
Langit cerah
Bumi basah.

Kelihatannya ada serigala
Di dalam manusia
Mengulum jari
Menyembunyikan kuku
Melebarkan senyum
Menyembunyikan taring
Dan dengan baju tradisi
Kain berombak-ombak
Dengan ketawa dan wajah berseri-seri
Kalimah yang indah-indah
Bertaburan gugur
Dari bibir yang merekah.

Siapa yang dapat melihat
Onak duri dan paku besi
Di bawah hamparan permaidani
Siapa yang dapat mendengar
Hembusan kipas kasturi
Menutupi bunyi dendam kesumat
Seorang serigala
Yang menunggu ketika
Untuk membahan hati
Mangsa yang alfa diri?

7 Januari 2004

All I Ever Wanted

All I ever wanted I found in you
You're all I ever wanted
You're to good to be true
I will always need here in my life
I will love you forever
I am so glad these two hearts
Came together
Love always be so true
Cause' I will always go on lovin' you

All I ever needed was love
And the arms that could give me a
Warm hug
I love that feeling of being loved
I feel that way when I'm next to you
Holding you so close I will always do
I will always go on loving you so true

A Silent Love Too Late

For you do not know I hold a love to
A love I held so deep within
But I was too late

You found another
And I found the night….alone
I see your smile
But you do not see my tears
I willed it not
You spoke of spring love
But I spoke of pain
Pain of knowing I held within me

One day we grew apart
And I changed
Now…you left behind the night
My only friend I hear your cry
But I do not return
For you were too late
For my soul is the only thing remain
From this world of night.

Liars

We are surrounded
by liars.

the ears hear,
but they only hear some sounds,
the eyes see,
but they only see some sights,

there are sounds that only
the heart can hear,
sights that only
the heart can see,
fragrances that only
the heart can inhale,
caresses that only
the heart can feel.

Trust your heart.

Just Love

Love has no motive,
no goal,
no beginning,
no end.

Life

Life is not happening “to” you,
Life is happening “through” you.

Life is not about “you” at all.

Lovers

Lovers... what does this mean "Lovers"?
To be forever thirsty,
To be forever hungry,
To be on the edge of an abyss, with no choice but a gleeful leap into the unknown.
These are Lovers.

Jangan Tinggal Dirimu

muhammadzubirali

Jangan tinggal dirimu
terasing
Di penjuru rumah
Bila kau datang
Menemuiku
Kekasih!

Jangan tinggal dirimu
Mengembara jauh
Tanpa peta di tangan
Bila kau berkunjung
ke rumahku
Wahai kekasih!!

Jangan tinggal dirimu
Bersama seribu soalan
Setiap kali
Kau melontar senyum mistri
Dari rakit hidup
Yang hanyut tanpa kemudi..

Jangan tinggal dirimu
Kesaorangan,
Setiap kali kuteguk
Minuman di tangan
Yang ku minum
adalah masalahmu
yang tersangkut
di jendela fikiran
yang tersepit
di pintu hati.
Wahai kekasih!!!

Jangan
tinggal
dirimu...

7 Februari 2003
Bangsar.

SERU PUTERI MELAYU

HAI AIR, OMBAK DAN LAUT
BERALUN MEMIKAT LEMAH DAN LEMBUT
MENYIMPAN RAHSIA MUTIARA KALBU
MARJAN INDAH WARISAN BANGSAKU

HAI RUMPUT, POHON DAN GUNUNG
KHAZANAH BANGSA TEMPAT BERLINDUNG
ZAT KHASIAT MEMAKAI TUDUNG
EMBUN PAGI TAK DAPAT DIBENDUNG

HAI NAFAS, ANGIN DAN NYAWA
MENJANGKAU  SELURUH ALAM MAYA
RAIHAN MELAYANG MEMBAWA CINTA
CINTA  DARI ALAM  SYURGA.

HAI TUBUH, HATI DAN RUH
BERSATU DIRI DENGAN SEPENUH
LARI MALAM MENINGGALKAN SIANG
LARI  KELAM  TERSINAR TERANG

KU SERU DIKAU PUTERI  MELAYU
TERSINGKAP TIRAI  NAMPAK WAJAHMU
BANGKIT PEKERTI  NILAI BISTARI
AKALBUDI PUTERI  JAUHARI..


ZUBIR ALI
23 OGOS 2002
10 PAGI

Usah Mudah

Usah mudah menyatakan kasih
jika tiada faham makna

Usah mudah menyatakan sayang
jika tiada perasaan mendalam

Usah mudah menyatakan cinta
jika tiada rasa akannya

Kasih sayang
Cinta mendalam
Rindu dendam
   Dua jiwa
   Dua rasa
   Dua minda
Bertaut dalam ying dan yang.

e.m.a.s.
29/07/2002

Sayap Simurgh

Sewaktu jari jemarimu
Yang lembut itu
menyentuh sayapku
listrik kasihmu menjalar
ke seluruh tubuhku
lalu aku mengepak sayap Simurgh
menghantar telipati rindu
pada Pengirim Kasih
yang kelihatan jauh tetapi amat dekat.

Dari dahimu
Yang menerima kucupan kasih
Terpancar nurcahaya
Membuka mata ketiga
Yang merenung ke alam mistri
Tempat asal usul kita berdua.

Dan bunga wajahmu
Kembang menguntum
Seperti matahari pagi
Menghirup sinar embon
Pada hujung daun.

Zulaikha kekasihku
Ketahuilah
Ada rindu seputih salju
Menantimu
Setiap hari musim gugur
Bila aku tiada di sisimu.

01.10.01
Nuryusof

Bandut

muhammadzubirali

Kerjanya
mencipta ketawa
untuk orang lain,
membuat orang lupa
pada kuku derita
yang mencengkam dada.

Kerjanya
mencipta senyuman
membina impian
sementara menanti
hakikat kekejaman
yang menunggu manusia
di luar teater.

Kerjanya
untuk membunuh
derita orang lain
tapi derita hatinya sendiri
seperti kain buruk
yang koyak rabak
basah oleh darah
menanggung luka yang parah.

Mac 1991

Malam Kosovo

muhammadzubirali

Malam itu
Aku dibawa ke Kosovo
Dengan  susunan bunga kata-kata
Yang melompat dari bibir
Lalu menjadi bunga merah darah;
Manik-manik terungkai tanpa rasa
Gugur ke lantai waktu.

Suara dan gerak amator
Mencurah rasa yang tak terasa,
Jeritan perjuangan mengangga
Meminta korban sapi betina
Sejarah selalunya berulang
Anjing tetap makan tulang
Manusia tinggal tulang-belulang
Cinta di kuburan terbuka
rindu tergantung di awan
Dan waktupun menyepi
meninggalkan pentas sunyi.

Begitulah
Seperti biasa
Sang Melasovic  merencana
Di sebalik suara jeritan perkosa
Suara etnik itu terkabur oleh suara agama;
Agama ini mesti dihapuskan
Supaya kita tak terhapus.
Perang Salib ini mesti diteruskan
Di sebalik tirai siang.
Tersorok di balik doko dan iklan
Tersirat di balik drama dan teater.
Orang-orang sedang berjihad
Kita-kita sedang apa?

Besoknya
Ku baca lagi derita di dalam akhbar
Peperangan dan pembunuhan
Menjadi sarapan pagiku
Dan kopinya yang merah
Terpercek ke bajuku yang putih
Dan bibikku bertanya:
"Apa enak sarapan pagi ini Pak?"
Jawab isteriku:-
"Rasanya enak sekali
seperti meminum darah
Dan meratah daging manusia."
Aku memandang isteriku
Dan kami ketawa kecil.

Suara jeritan Kosovo
Seperti juga suara jeritan Bosnia
Semalam yang menjerit
Disambut dengan hari ini
Yang bisu dan kaku
Seperti biasa
Rumah makan di penuhi manusia
Yang bicara tentang
kezaliman
Penderitaan
Kekejaman
Perkosaan
Kematian
Di bumi asing.
Seolah-olah kita semua
Terlepas dari
Kezaliman yang bersepuh perak
Penderitaan yang bersalut rahmat
Kekejaman yang di undang-undangkan
Perkosaan yang dikahwini
Kematian yang ditabur bunga-bunga merah
Di bumi sendiri.

Bulan bintang
Masih tersangkut
di langit
Siapakah yang akan mengaitnya
Ke bumi?
Suara--suara sumbang
Tertinggal di pentas lakon
Yang terasing,
sunyi dan sepi


DTC, UM
25hb.Jun 1999

MERABA DALAM TERANG

muhammadzubirali

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Padahal yang meraba itu
Bukannya orang buta mata.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Takut teraba benda yang tajam
Dan terluka tangan yang lembut.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Cinta menjadi buta
Kasih menjadi tuli
Marah menjadi ketelanjuran
Benci menjadi sunyi.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Tradisi dimaqamkan di dalam kaca
Identiti ditanam bertanda dua
Wajah-wajah tertutup topeng
Tubuh-tubuh telanjang menutup mukahati.


11.5.1999
ASK

Bagaimana?

muhammadzubirali

Bagaimana
kalau kau
dilahirkan semula
sebagai seorang remaja,
apakah aku
bisa membetulkan jalan hidupku
supaya jadi lebih mulia
lebih mengerti
lebih simpati?

Atau walaupun
berapa kali
aku dijadikan
masih juga aku
mahu mengulangi
kesilapan dulu
kerna nikmat itu
tersimpan di sebalik kesilapan
dan tangisan keampunan.

Abu Raihan

Tuesday, March 23, 2010

PERBUATAN KITA

muhammadzubirali

Aku melihat perbuatanku
Dalam perbuatanmu
Atau mungkin aku merasa
Perbuatanmu
Dalam perbuatanku.

Aku merasa
Kata-katamu
Menjadi kata-kataku
Dan akhirnya menjadi kata-kata kita
Di manakah aku
Di Manakah kau?.

Rupanya
Bersama si Ali itu
Gerak kita bersatu
Dalam gerak yang tunggal
Rupanya
Ada keizinan ghaib
Yang meraba seluruh kosmos.

29 Nov.1999.

Cermin Hati

muhammadzubriali

Pernahkah kau
Melihat ke dalam
Cermin hatimu,
Apakah ada
wajahmu di dalamnya?

Di dalam cermin hati
Dapat di lihat wajahmu sendiri,
Melihat matamu
Melihat telingamu
Melihat mulutmu
Melihat akalmu
Melihat hatimu,
Tapi ingatlah
Apa yang di dalam cermin itu
Hanyalah bayanganmu
Bukan hakikatmu..

Cermin hati
Adalah tempat melihat diri
Diri terdiri
Diri ampunya diri
Diri yang fana diri.

29 November 1999.

MERABA DALAM TERANG

muhammadzubirali

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Padahal yang meraba itu
Bukannya orang buta mata.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Takut teraba benda yang tajam
Dan terluka tangan yang lembut.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Cinta menjadi buta
Kasih menjadi tuli
Marah menjadi ketelanjuran
Benci menjadi sunyi.

Luarbiasanya
Meraba dalam terang,
Tradisi dimaqamkan di dalam kaca
Identiti ditanam bertanda dua
Wajah-wajah tertutup topeng
Tubuh-tubuh telanjang menutup mukahati.


11.5.1999
ASK

TUTUP MATA DAN TELINGA

muhammadzubirali

Tutup matamu
tutup telingamu
tutup inderamu
tutup akalmu
buka kalbumu
buka rohanimu
buka rahsiamu.

Semakin jauh
ke luar perjalanan
semakin jauh
dirimu kau tinggalkan

Semakin tinggi
engkau mendaki
semakin sakit
tersungkur ke bumi..

Apakah penglihatan
di luar jangkauan mata
apakah suara bunyian
alam kesunyian ?.

Dirimu
Di dalam hatimu
Hatimu
Di dalam rohanimu
Rohanimu di dalam
Sirrmu.


Bagaimana mungkin
bayang-bayang
mengaku memiliki sifat tuannya,
itu satu ilusi ngeri
yang menyiksa diri sendiri.


Kalau kau memang
bayang- bayang
yang akan hilang
bila berkocak air tenang,
wahai Ali !
beradablah seperti bayang-bayang
supaya tuanmu sudi membunuhmu.

Oktober 98

KALAU AKU

muhammadzubirali

Kalau aku
Benar-benar manusia
Bukan haiwan
kenapa aku hanya
hidup untuk makan dan minum
hidup untuk bekerja dan tidor
berputar dalam lingkaran duniawi
seperti seekor sapi
menggiling padi ?


Kalau aku
Benar-benar insan
Yang mengandung enam alam
Kenapa aku
Tidak mampu
menanggalkan pakaian
Penjara duniaku
Yang hanya satu ini ?


Kalau aku
Benar-benar khalifah
Bukan makhluk teknologi
apa tugasku di sini ?
apa yang ada
di sebalik minda
seorang abdi ?
apa yang terbuku
di ruang kalbu insani ?
apa yang tersembunyi
di dalam rohani diri ?.


Kalau aku
Benar-benar khalifah
Bima Sakti dan lain-lain geleksi
kenapa dimensiku
hanya kecil dan satu ?
kenapa kasihku
hanya pada diriku ?
dan si Ali ini hamba siapa sebenarnya
kalau bukan hamba Yang Maha Segala ?


Oktober 1998